Friday, May 23, 2008

Padankan warna

Bingung memikirkan warna pakaian apa yang perlu dipakai untuk ke pejabat? Dapatkan tip ringkas mengenainya.


SEMUA warna yang ada pada pakaian seharusnya padan dengan kumpulan warna yang sama.



MEMADANKAN warna antara baju, seluar, sut dan tali leher kadang kala membuatkan kaum lelaki pening kepala. Kita sering tertanya-tanya adakah warna tali leher yang dipilih itu padan dengan kemeja yang akan dipakai ke pejabat.

Mungkin ada yang beranggapan bahawa ia tidak penting dan mengambil pendekatan tidak peduli. Tetapi awas, jika tersilap langkah, anda boleh menjadi bahan ketawa hanya kerana pemilihan warna tali leher, kemeja dan seluar membuatkan anda seperti serba tidak kena.

Jangan bimbang, anda tidak perlu terlalu memikirkan tentang padanan warna yang kompleks, sebaliknya anda hanya perlu mengetahui asas koordinasi warna-warna ini. Mempelajarinya juga tidaklah sesukar yang disangka.

Putih sesuai untuk apa sahajaBagi mereka yang mempunyai banyak kemeja putih, berita baik untuk anda. Ini kerana baju putih boleh dipadankan dengan apa jua warna tali leher, sut atau seluar. Bagi tali leher, anda boleh memilih tali leher yang mempunyai banyak warna dan corak.

Seeloknya, padankan kemeja putih dengan tali leher berwarna gelap, bercorak atau jalur. Kemudian, sempurnakan penampilan anda menerusi sut hitam atau kelabu. Pasti tiada siapa yang akan mengutuk anda selepas ini.


WARNA yang terletak bertentangan di atas roda warna dikira sebagai padanan yang baik.


Kelabu sesuai dengan warna cerah

Gunakan warna kelabu untuk mengawal apa jua bentuk eksperimen dengan warna. Warna kelabu mempunyai ciri yang hebat untuk mengurangkan tarikan warna-warna terang. Boleh dikatakan warna ini mampu dipadankan dengan hampir semua warna.

Jadi, jika anda mahu menguji kesesuaian warna atau menambah warna pada pakaian tanpa bersifat berlebih-lebihan, pakailah pakaian yang berwarna kelabu sama ada seluar, baju sejuk atau jaket bagi mengurangkan kekuatan warna-warna garang.

Penggunaan warna kelabu dalam berpakaian bukan sahaja membuatkan anda kelihatan bijak memilih warna, malah warna kelabu adalah warna yang sofistikated, klasik dan cool.

Jangan pakai seluar berwarna pelik




Tidak kira siapa anda, jangan sekali-kali memakai seluar berwarna yang nampak pelik hingga menarik perhatian orang lain. Maksudnya, bagi seluar slack, chinos jeans atau sebagainya, terdapat warna-warna yang sudah pun sebati dengannya.

Misalnya seluar berwarna hitam, kelabu, coklat dan khakis adalah warna seluar yang patut ada di dalam almari anda. Memakai seluar berwarna terang seperti merah, kuning atau hijau hanya membuatkan anda kelihatan seperti badut.

Pastikan warna seluar yang dipakai tidak menyerlah berbanding warna baju dan tali leher.

Gunakan warna dalam 'keluarga' sama

Untuk penampilan terbaik, semua warna yang ada pada pakaian seharusnya padan dengan kumpulan warna yang sama. Berdasarkan konsep warna asas 'keluarga' warna ini, ia mewakili darjah terang atau gelap bagi setiap warna yang anda minati.

Salah satu tip yang boleh diaplikasikan ialah cuba bayangkan bagaimana warna yang dipilih itu akan muncul dalam foto hitam putih. Misalnya, gunakanlah warna pastel dengan warna pastel yang lain.

Gunakan padanan roda warna

Sekiranya anda bijak melakukan padanan dengan warna-warna yang bersesuaian, pujian akan datang kepada anda. Warna yang terletak bertentangan di atas roda warna dikira sebagai padanan yang baik.

Misalnya merah dan hijau, kuning dan ungu, biru dan jingga. Memadankan warna-warna sebegini adalah petanda anda mempunyai keyakinan tinggi, bijak berpakaian dan mampu menghasilkan penampilan yang menyerlah berdasarkan kumpulan warna tersebut.

Mungkin anda boleh mencuba mengenakan kemeja biru berkotak dengan tali leher berwarna jingga. Gandingan ini memberi gaya moden dan sofistikated.



Sumber:kosmo

No comments: