Thursday, May 22, 2008

Artis seksi dan sayur



ARTIS dan makanan juga boleh menjadi isu dalam dunia hiburan. Selain isu artis memiliki badan kurus kerana kurang makan, golongan artis yang tidak makan daging juga sesuatu yang menarik untuk diikuti.

Banyak sebab yang menjadi penyumbang utama seseorang itu mengamalkan cara pemakanan sayur-sayuran sahaja atau dikenali sebagai golongan vegetarian. Artis terutamanya menjadikan ia satu trend yang semakin berleluasa dengan menghindari daging di pinggan mereka.

Tidak kira ingin mengekalkan bentuk badan yang ideal secara sihat atau atas sebab berkaitan dengan moral, keagamaan, budaya, etika, persekitaran, sosial, ekonomi, kesihatan mahupun politik, corak pemakanan sebegini dilihat merebak dengan cepat.

Malah setiap tahun, Pertubuhan Hak-hak Asasi Haiwan (PETA) akan menyenaraikan artis pengamal sayur paling seksi yang bertujuan untuk menggalakkan lebih ramai orang berhenti memakan daging dan bertukar menjadi pemakan sayur.

Tahun lalu, undian telah menunjukkan penyanyi Carrie Underwood sebagai pengamal vegetarian wanita paling seksi dan Kevin Eubanks sebagai pemakan sayur lelaki paling seksi.


MILO VENTIMIGLIA


Antara artis lain yang turut disenaraikan termasuk Kristen Bell, Dallas Howard, Joaquin Phoenix, Milo Ventimiglia, Avril Lavigne, Gwyneth Paltrow dan Jared Leto.

Manakala selebriti Asia yang tersenarai adalah Maggie Q (Hong Kong), Elva Xiao (Taiwan), Barbie Xu (Taiwan) Amitabh Bachchan (India) dan model Filipina, Isabel Roces.

Minggu ini, mari kita melihat beberapa kisah menarik artis yang menyebabkan mereka menjadi pemakan sayur dan mengapa ada artis yang sanggup melepaskan tabiat memakan sayur.

Carrie kesayangan PETA


CARRIE UNDERWOOD


Terkenal bukan sahaja kerana bakatnya dalam nyanyian, Carrie Underwood juga dinamakan sebagai pengamal vegetarian paling seksi selama dua tahun.

"Saya berhenti memakan daging lembu semasa berusia 13 tahun. Saya lakukannya kerana terlalu mencintai haiwan dan pembunuhan haiwan membuatkan saya sedih.

"Bukan itu sahaja, iklan yang berkaitan dengan daging juga membuatkan saya sedih. Ia amat janggal," katanya yang meminati piza sayur-sayuran.

Turut merupakan pencinta haiwan, Underwood selalu menyelamatkan haiwan terbiar. Maka tidak hairan dia merupakan antara artis kesayangan PETA.

"Mereka (haiwan) bergantung kepada manusia untuk menjaga mereka. Jika anda memberitahu saya tidak boleh menyanyi lagi, saya cuma akan menyatakan ia amat teruk kerana ia bukan hidup saya.

"Jika anda memberitahu saya tidak boleh berada dengan haiwan, saya akan mati," kata Underwood.

Punca Kareena kurus


KAREENA KAPOOR semakin langsing dengan pengambilan sayur-sayuran dalam diet hariannya.


Sebab utama aktres Bollywood, Kareena Kapoor berhenti menjamah daging adalah kerana bentuk badannya. Dia yang ingin kelihatan langsing terpaksa menghentikan corak pemakanan berasaskan daging.

Namun, perubahan cara pemakanan dan dietnya telah menimbulkan perasaan bimbang ibu bapanya kerana Kareena kelihatan terlalu kurus.

"Saya adalah penggemar daging sebelum ini. Tetapi saya berasa lebih sihat dan tidak lagi diselubungi perasaan bersalah selepas menjadi seorang pemakan sayur," jelasnya kepada akhbar Mumbai Mirror.

Aktres filem Omkara ini percaya dengan memakan sayur akan menyumbang kepada kehidupan yang lebih sihat tetapi bapanya Randhir Kapoor menyangkal tanggapan itu.

Kambing, sayur dan Anne


ANNE HATHAWAY


Aktres Anne Hathaway menjadi pemakan sayur yang serius semasa berada di lokasi penggambaran filem period, Becoming Jane di Ireland.

Dia membuat keputusan untuk tidak lagi memakan daging selepas menyaksikan kelahiran seekor kambing biri-biri di ladang berdekatan.

Pelakon The Devil Wears Prada ini yang memainkan watak penulis novel kegemaran, Jane Austen dalam filem ini sebenarnya jarang memakan daging. Namun, kehidupannya seketika di Ireland telah menghentikan dia daripada memakan daging.

"Dulu saya seorang pemakan sayur fleksibel. Ini bermaksud saya memakan daging apabila saya berasa diri saya akan 'mati' atau pengesan. Tetapi pada kebanyakan masa saya memakan sayur-sayuran sahaja.

"Semasa kami menjalankan penggambaran berdekatan dengan ladang kambing biri-biri, ia merupakan musim melahirkan anak kambing biri-biri. Dan semua anak kambing biri-biri ini berkeliaran kelihatan comel.

"Walaupun saya tidak pernah memakan daging kambing, saya tidak dapat lagi memakan daging selepas itu," tambahnya.

Alicia sayang haiwan

Seperti kebanyakan orang, Alicia Silverstone bukannya pemakan sayur sepenuhnya. Namun, dia amat menyayangi haiwan.

Berpendapat bahawa lembu, ayam belanda dan kambing juga sama comel anjing dan kucing, Silverstone memberitahu mereka juga ingin hidup dengan kasih sayang.


ALICIA SILVERSTONE


"Mereka juga tidak menyukai kesakitan. Kini apabila saya melihat stik, ia membuatkan saya berasa sedih dan sakit kerana saya akan teringatkan anjing saya. Sudah 10 tahun saya menjadi pemakan sayur dan itulah keputusan paling bijak yang pernah saya lakukan.

"Secara fizikal, impaknya amat menakjubkan kerana saya berjaya mendapat berat badan ideal serta kulit bersinar. Saya berasa sihat dan kelihatan lebih hebat berbanding 11 tahun lalu," kata Silverstone yang ingin lebih ramai orang menyertainya dalam kehidupan kurang 'kejam' ini.

Memberitahu dirinya menjadi lebih aman dan gembira selepas menjadi pemakan sayur, keputusan Silverstone ini juga telah membantu mengurangkan kesengsaraan haiwan.

Selain daripada itu, Silverstone juga memilih untuk tidak memakai produk dan pakaian yang diperbuat daripada haiwan.

"Saya tidak akan memakai pakaian yang diperbuat daripada bulu biri-biri dan kulit. Saya juga tidak akan membeli barangan daripada syarikat yang menjalankan ujian produk ke atas haiwan," jelasnya lagi.

Melanie berkorban untuk suamiBagi mengekalkan satu perhubungan perkahwinan, banyak perkara yang perlu dikorbankan oleh kedua-dua pihak. Melanie Griffith juga melakukan perkara yang sama terhadap suaminya, Antonio Banderas.

"Melanie sangat mencintai Antonio. Dia banyak berkorban untuk mengukuhkan lagi perkahwinan mereka. Impiannya adalah untuk memuaskan Antonio kerana apabila suaminya gembira, dia juga berasa gembira," kata satu sumber.

Namun, pengorbanan apa yang dilakukan oleh Griffith untuk menunjukkan rasa sayangnya itu? Dia sanggup melepaskan dirinya sebagai pemakan sayur supaya mereka berdua boleh berkongsi makanan bersama.

"Apabila dia memakan daging dan telur, saya juga memakannya. Saya mahu berkongsi dengan dia untuk merapatkan hubungan kami," kata Griffith.

Rasanya keputusan Griffith itu berjaya kerana pasangan ini masih lagi bahagia selepas berkahwin selama 12 tahun.

No comments: