ADAM (bukan nama sebenar) mula mengalami masalah tidur sejak bekerja dalam bidang pengiklanan, tiga tahun lalu. Saat berkongsi cerita dengan Kosmo!, lelaki berusia 30 tahun ini masih bergelut untuk membebaskan diri daripada kekangan insomnia. Katanya, perubahan jadual kerja yang ketat disangka dapat memperbaiki waktu tidurnya. Namun, sangkaannya nyata meleset apabila situasi bukan sahaja tidak berubah malah bertambah teruk.
"Pada enam bulan pertama, ingatkan selepas kerja malam, saya boleh tidur pada siang hari. Tapi, tak dapat. Keadaan ini berterusan dan semakin hari semakin membimbangkan.
"Apatah lagi dalam kerja ini, saya banyak berjalan jauh sehingga menyebabkan sistem biologi tidur, makan dan minum terganggu," katanya sambil mengerut dahi.
Lebih menyeksakan, dalam sesetengah malam, dia bukan sahaja hanya dapat melelapkan mata sejam dua. Pernah sekali, dia langsung tidak tidur selama tiga hari berturut-turut!
Memandangkan keadaan Adam yang semakin teruk, mahu tak mahu, dia terpaksa mencari jalan penyelesaian.
"Enam bulan selepas itu, saya cuba pelbagai jenis rawatan dan berjumpa doktor sehinggakan ada yang kata, saya mungkin perlu berubat secara tradisional kerana barangkali ia melibatkan sesuatu di luar bidang kuasa saintifik," katanya tanpa segan silu.
Kegagalan Adam mengikut rutin tidur tetap ekoran waktu kerja yang tidak menentu dan sering kerja sehingga lewat malam sekali gus memberi kesan kepada fungsi fisiologi normal tubuh.
Bercerita lanjut, dia memberitahu bagaimana kurangnya tidur berkualiti memberi impak kepada kestabilan emosinya.
"Saya jadi mudah sensitif dan cepat panas baran. Perkara-perkara remeh juga membuatkan saya hilang pertimbangan. Selera saya juga bertukar kepada makanan ringan manakala di tempat kerja, konsentrasi saya turut terganggu," jelasnya.
Tambahnya, walaupun dalam keadaan yang terlalu letih, dia masih tidak mampu melelapkan mata sehingga menyebabkan diri berada dalam tekanan.
Menurut Adam juga, dia menolak bantuan pil tidur yang disyorkan doktor kerana takut akan menjurus kepada pergantungan jangka masa panjang.
Hakikatnya, Adam tidak keseorangan dalam isu berhubung insomnia yang kini menjadi bebanan masyarakat moden.
Insomnia pada asasnya terbahagi kepada tiga jenis iaitu insomnia jangka pendek, selang-seli dan tahap kronik. Kes Adam boleh dikategorikan sebagai insomnia kronik kerana berlaku sekurang-kurangnya tiga malam seminggu dan berlarutan lebih daripada sebulan.
Ketua Jabatan Perubatan Psikologi, Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM), Profesor Dr. Hussain Habil ketika dihubungi Kosmo! berkata, insomnia tahap kronik pula terbahagi kepada dua iaitu primer atau sekunder.
"Insomnia primer berlaku tanpa sebarang punca tertentu dan tiada kaitan dengan masalah kesihatan. Tetapi, insomnia sekunder pula biasanya berpunca daripada masalah kesihatan. Misalnya, akibat gangguan mental seperti kemurungan atau tekanan mahupun atas sebab kanser atau asma," katanya.
Jelasnya lagi, dalam kes-kes tertentu, insomnia sekunder dilihat berpunca daripada persekitaran tidur yang tidak menggalakkan. Ini termasuk terdedah kepada pelbagai gangguan luaran seperti bunyi yang terlalu kuat atau bunyi pasangan berdengkur.
Sambil menegaskan insomnia bukan 'penyakit misteri', Dr. Hussain berkata, perubahan gaya hidup adalah pendekatan paling praktikal untuk mengatasi masalah ini.
"Jangan ingat tidur siang untuk jangka masa yang panjang boleh menggantikan tidur malam yang singkat. Ini tidak mungkin berlaku kerana tidur siang sebenarnya bukan satu keperluan.
"Dari aspek psikologi, tidur sebentar atau 'short nap' memang baik tetapi kita tak syorkan ini pada penghidap insomnia. Masyarakat moden sepatutnya dididik bagaimana untuk mengecap nikmat tidur malam yang berkualiti," ujarnya yang juga Presiden Persatuan Permasalahan Tidur Malaysia (SDSM).
Sementara itu, Pengerusi Bahagian Psikiatri Swasta, Persatuan Psikiatri Malaysia, Dr. Nor Hamidah Mohd. Salleh pula berkata, keadaan 'sleep hygiene' atau tabiat tidur yang baik boleh mempengaruhi kualiti tidur seseorang.
"Apabila tiba waktu tidur, bebaskan otak daripada apa juga masalah dan kekacauan. Jangan bawa hal pejabat ke rumah ataupun menonton di dalam bilik. Semua ini boleh menjejaskan kualiti tidur anda.
"Tidur macam makan. Perlu diseimbangkan dan elakkan daripada tidur terlalu lama. Jangan amalkan tabiat makan lewat atau tidur dengan perut lapar.
"Sebaik-baiknya, adakan satu rutin tidur tetap yang sama dalam sesebuah isi rumah. Dengan ini, ahli keluarga boleh saling mempengaruhi tabiat tidur yang baik bermula sejak kecil lagi. Ibu bapa perlu jadi contoh terbaik," jelasnya panjang lebar. - YEO LI SHIAN
No comments:
Post a Comment