Wednesday, April 2, 2008

Balasungkawa Yusni Jaafar (1945-2008): Dunia seni hilang pelakon berbakat

Oleh Nurulhisham Abdul Latiff

Yusni meninggal pagi semalam selepas terlantar di hospital sejak Januari

SATU ingatan yang tidak dapat dilupakan mengenai Yusni Jaafar ialah ketika menonton klip video lagu Basikal Tua nyanyian Sudirman Haji Arshad yang pernah disiarkan di RTM.

Dalam klip itu, Sudirman berhempas pulas mengayuh basikal yang dinaiki oleh Yusni yang berbadan besar itu. Gelagat mereka cukup menarik. Sudirman dengan basikal tua yang agak besar, hendak membonceng Yusni juga berbadan besar.

Biarpun dikenali sebagai pelawak, Yusni atau membiasakan dirinya ibu Yusni ialah seorang yang serius. Di atas pentas atau dalam filem dan drama, dia mungkin nampak seperti mengada-ngada, tetapi itu adalah antara aksinya sebagai pelawak atau pelakon komedi.

Bagaimanapun, tidak semua drama lakonannya menampilkan Yusni sebagai pelawak saja. Ada juga drama yang mengetengahkan dirinya sebagai ibu yang garang dan tegas. Hakikatnta, bakat ibu Yusni memang pelbagai. Dia boleh melakonkan watak komedi, tetapi pada waktu lain boleh membawakan watak sering, garang atau jahat.

Kali pertama pelakon kelahiran Tumpat, Kelantan ini muncul di layar perak ialah menerusi filem Panglima Badol pada 1978.
Manakala aksi terakhirnya pula ialah menerusi filem sulung arahan Hans Isaac, Cuci, yang baru saja menemui penonton awal tahun ini. Dalam filem yang dibintangi Hans, Awie, Afdlin Shauki, AC Mizal, Erra Fazira dan Umie Aida itu, dia berlakon sebagai ibu Umie.

Di skrin kecil televisyen pula, beliau cukup sinonim dengan siri komedi Santan Berlada yang turut menampilkan pelakon lawak Mr Os, Fauziah Nawi, Khairul Azhar dan Ali Mamak.

Sepanjang kariernya, Yusni yang cukup popular pada era 80-an ini pernah muncul dalam kira-kira 20 filem. Selain Cuci dan Panglima Badol, aktres ini juga membintangi filem Setinggan, Sikit Punya Gila, Gila-Gila Remaja, Balik Kampung, Hantu Siang, Guru Badul, Dendang Remaja, dan Antara Dua Hati.

Filem lain yang turut dilakonkan ialah Pening-Pening Lalat, Driving School, Penghujung Malam, Senario The Movie, Soalnya Siapa?, Laila Isabella dan Tak Ori Tapi OK.

Sepanjang 30 tahun bergelar pelakon, Yusni juga pernah menaiki pentas Festival Filem Malaysia apabila beliau diumumkan pemenang Pelakon Komedi Wanita Terbaik pada edisi kelapan festival berkenaan, tahun 1989.

Baru-baru ini, beliau juga seorang daripada beberapa penggiat seni yang diberikan anugerah cemerlang pada Malam Gala Karyawan. Selain itu, pelakon veteran ini juga menerima wang pencen daripada persatuan berkenaan untuk sepanjang hayat, sejak 2005.

Yusni lahir dalam sebuah keluarga yang sememangnya berdarah seni. Orang tuanya yang berasal dari Medan, Indonesia, ialah pelakon bangsawan, sewaktu mereka merantau ke negara ini. Sebagai pemain bangsawan, ibu bapanya merantau ke serata Malaysia dan Singapura.

Yusni juga seorang anak seni yang dilihat mempunyai kebolehan dalam bidang nyanyian dan pernah menyanyi secara trio Suria Booty, Purnama Booty dan Kesuma Booty di Hotel Park Royal.

Namun setelah mendapat undangan daripada A R Badul untuk muncul dalam program lawak jenaka di kaca TV, penerima Pingat Pangkuan Negara (PPN) pada 1985 daripada Sultan Pahang itu mula menunjukkan bakatnya sebagai pelawak.

Seorang yang disukai ramai kerana sifat cerianya, anak kepada pasangan Jaafar Sidik dan Kasmini Mustajab serta kakak kepada pelakon Sukarni Jaafar ini pernah merakam album komedi berjudul YBK bersama Badul dan Oh! Sayang dengan Isma Aliff.

Buat seluruh anak seni, dialah ibu yang sering kali menghiburkan hati. Begitu juga buat peminat, Allahyarham Yusni Jaafar ialah permata yang setia menceriakan hari mereka.

Namun, sinaran itu padam pada jam 2.30 pagi, 1 April lalu, apabila pelakon komedi yang disegani itu menghembuskan nafas terakhir di Hospital Selayang.

Penghibur, pelakon dan pelawak berusia 63 tahun itu meninggal dunia akibat kegagalan hati dan dirawat di hospital berkenaan sejak 31 Januari lalu. Jenazah Allahyarham dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam USJ21 selepas disembahyangkan di masjid berdekatan.

Beliau meninggalkan lima anak hasil perkongsian hidup bersama Raja Ibrahim Raja Mansor, iaitu Raja Iskandar, 41; Raja Ema, 39; Raja Izat, 37; Raja Emey, 30, dan Raja Erna, 23. Selain penyakit hati, nenek kepada sembilan cucu itu juga dikatakan menderita sakit buah pinggang dan kencing manis.

Pemergiannya satu kehilangan cukup besar dalam industri seni tanah air kerana sudah berdekad lama, pelakon ini menyumbangkan jasa dengan menghiburkan hati jutaan peminat setiap kali beliau tampil dalam filem, drama mahupun rancangan televisyen.

Semoga tuhan mencucuri rahmat ke atas roh Yusni Jaafar...seniwati yang tiada gantinya

Sumber: Berita harian

No comments: