AGAK berat dan susah hati Kakak Tua hendak menyentuh pasal bab berfesyen ini. Tambahan pula yang hendak ditegur itu artis ternama dan yang menegur pula bak 'tunggul berhias.'
Tapi niat di hati ini hanya sekadar menegur. Kalau baik penerimaannya, Alhamdulillah, kalau tidak terpulanglah. Lagipun bukan semua yang dicakap oleh Kakak Tua ini diambil berat.
Lagipun, takut pula orang berkata...Tepuk dada tanya selera. Badan kita, duitpun kita punya. Orang lain hanya menjatuhkan bibir atas dan bawah - Kukur apa kepada kukur, nyiur juga yang binasa!
Namun sebagai orang lama, bila ada yang menyindir dan membuat jenaka cara berpakaian Datuk Siti Nurhaliza ketika pelancaran album terbarunya baru-baru ini, tak sanggup rasanya telinga ini mendengar kata-kata kurang enak yang dilontarkan.
Benarlah kata orang tua, bunga yang harum itu ada juga durinya.
Ketika rakan sekerja memberi komen..."Siti telah melakukan satu jenayah fesyen," hati tua ini terus nekad untuk menegur bukan sekadar Siti saja tetapi pereka fesyen Riezman Ruzaini yang langsung tidak memberi nasihat kepada Siti agar melupakan niatnya untuk berpakaian begitu.
Siti telah melakukan satu 'jenayah fesyen'?
Sebenarnya ramai juga artis kita yang pernah melakukan 'jenayah fesyen' seperti Siti dan ada pula tu yang sanggup membayar ribuan ringgit untuk khidmat pereka fesyen profesional agar keterampilan kelihatan lebih anggun.
Namun kadang kala, pereka fesyen yang diharapkan itu bersikap seperti 'Tikus baiki labu' dan memandai-mandai seperti 'Siuntut dipakaikan gelang'.
Maka berjalanlah sidang akhbar yang dinanti-nantikan itu dalam suasana yang meriah. Bertambah 'meriah' apabila ramai hadirin bagai terpaku melihat busana yang melekat di badan montok Siti.
Ramai hanya mampu berkata dalam hati, kenapa dan mengapa Siti sanggup bertukar 'imej' buruk, yang sakit di mata itu. Tapi hadirin yang berhemah mengambil sikap diam dan lihat termasuk wartawan yang bagai 'terkunci mulut' bila melihat 'kehebatan' Siti yang sudah banyak berubah sejak kebelakangan ini.
Orang kata ukur baju di badan sendiri. Agaknya Siti alpa yang paras rupa dan kemontokan badannya tidak memungkinkan dia berpakaian seumpama itu. Kalau model atau artis tinggi lampai seperti Nasha Aziz, Erra Fazira atau Aleeza Kassim mungkin sesuai mengenakan busana yang dicipta itu.
Sudahlah seluar ketat dipadankan dengan tali pinggang mencecah atas pinggang, disambut pula dengan serkup kepala berselendang lace. Cukup tidak sempurna jodohnya.
Serkup kepala begitu memang menarik dan akan kelihatan ranggi dan moden seandai pemakainya berwajah bujur sirih dan runcing dan bukan bulat macam bulan purnama.
Wajah manis Siti sebelum ini belum pernah lagi 'tercemar' dengan busana sejelek ini.
Potongan wajah 'babyface' seperti Siti tidak sesuai, tambah pula bila litup kepala disengetkan sedemikian rupa. Timbul pula rasa kasihan di hati kerana tiada seorangpun dalam hidup Siti, baik suami, kakak mahupun kakak ipar yang berani menegurnya.
Bila kita berpakaian bagai nangka masak menyasak sarung, yang menjadi bahan ketawanya kita. Alangkah tragisnya bila orang yang ditertawakan itu adalah idola satu Malaysia.
Wajah manis Siti sebelum ini belum pernah lagi 'tercemar' dengan busana sejelek ini. Selama ini, Siti cukup berhati-hati bila memilih pakaian yang akan disarungkan ke badannya. Walau pernah dilabel 'kampung' atau konservatif, semua fesyennya molek dan berkenan di mata.
Tapi sejak akhir-akhir ini, Siti mula berani 'berfesyen' dan kelihatan agak seksi kerana badan yang langsing bertukar montok dan wajah comel lebih berisi.
Penampilan 'seksi' mahupun 'berisi' yang selalu disebut-sebut oleh rakan wartawan sebenarnya terkandung banyak subteks - yang tidak mampu terucap dengan kata-kata. Adat orang kita menjaga hati agar tidak tersinggung. Bagus juga sikap yang diambil oleh ini.
Cuma jangan menjadikan kebiasaan kerana kesedapan begini hanya akan membuat artis itu terpana dan terpesona sehingga mengambil sikap 'aku hebat'.
Maka jadilah seperti hikayat dongeng "The Emperor and his New Clothes'. Yang mana akhir-akhir sekali apabila semua tertawakannya, barulah si Maharaja sedar yang dia telah menjadi bahan lawak oleh sebab sikap angkuhnya sendiri dan tiada seorangpun disekelilingnya yang berani memberi teguran.
Bila sudah jadi begini, bukan semua yang dikritik itu akan menyalahkan diri sendiri kerana ketaksuban ingin dilihat hebat dan menawan. Selalunya, 'muka yang buruk tapi cermin yang dibelah.' Harap-harap Siti tidak begitu.
Tapi jangan pula dicontohi sikap pengacara Linda Onn, sanggup tidak turun padang menjalankan tugas yang sepatutnya mengharumkan negara, kerana angkara sehelai baju 'glamour' yang dianggap tidak sesuai, kononnya ketat dan begitu seksi. Wallahualam!
KAKAK TUA: Selalu terima kebenaran kerana tak sanggup 'Kata yang benar di tidakkan, rahmat Tuhan dilarikan'
No comments:
Post a Comment