GAMBAR yang disiarkan semalam menunjukkan sejumlah besar ikan paus terdampar dekat Sandy Cape, Tasmania.
HOBART - Air laut bertukar menjadi merah selepas alunan ombak menghempas sekumpulan 150 ekor ikan paus ke kawasan pantai berbatu-bata di pulau Tasmania, 240 kilometer ke selatan Australia, lapor sebuah akhbar semalam.
Pegawai-pegawai hidupan liar hanya mampu menyaksikan sahaja adegan menyayat hati itu ketika kumpulan haiwan tersebut terdampar di perairan cetek di Tasmania.
Fenomena kematian ikan paus dalam jumlah besar itu menjadi isu perdebatan hangat sejak sekian lama.
Bagaimanapun, kebanyakan saintis bersetuju ia berlaku ekoran haiwan laut dalam itu kehilangan keupayaan navigasi ketika mengejar mangsa ke kawasan air cetek.
Bangkai-bangkai ikan paus bergelimpangan di kawasan pesisir pantai berbatu-batan itu yang terletak di Tanjung Sandy, barat laut Tasmania.
Sebelum itu, sejumlah penduduk tempatan yang dibantu pegawai-pegawai hidupan liar cuba sedaya upaya untuk menyelamatkan kumpulan haiwan tersebut.
Namun, usaha mereka tidak berhasil kerana ikan-ikan paus itu cedera teruk selepas terhempas ke batu-batu bergerigi tajam dan mereka tidak dapat berbuat apa-apa untuk mengelakkannya.
Sebaliknya, mereka berjaya mengemudi kumpulan kedua ikan paus untuk kembali ke tengah laut selepas melihat kira-kira 30 ekor haiwan itu berenang-renang tanpa haluan di kawasan air cetek.
|
GAMBAR fail ini menunjukkan anggota-anggota penyelamat menyelamatkan seekor ikan paus di pantai Anthony, Tasmania pada 23 November lalu. |
"Kami berharap dapat menyelamatkan semua haiwan itu tetapi peluang ikan-ikan paus untuk selamat di persekitaran berbatu tipis berbanding terdampar di perairan berpasir," kata jurucakap Jabatan Industri Prima dan Air Tasmania, Warwick Brennan.
Menurutnya, usaha menyelamat kumpulan kedua 30 ekor ikan paus itu mencapai kejayaan dengan menggunakan taktik-taktik bijak.
Jelas, Brennan mereka sudah bertahun-tahun berdepan dengan masalah ikan paus terdampar seperti itu dan tahu apa yang perlu dilakukan untuk menanganinya.
Ketika berusaha menyelamatkan kumpulan pertama 150 ekor ikan paus itu mereka mendengar seekor lagi ikan paus yang hampir terdampar memanggil kawan-kawannya di laut.
Keadaan itu berlaku hasil bantuan peralatan canggih dan mereka bimbang panggilan tersebut akan 'menarik' kumpulan kedua supaya memasuki perairan berbatu.
"Kami memutuskan untuk menggerakkan haiwan itu jauh ke kawasan pantai dan di luar jarak pendengaran ikan-ikan paus lain," kata Brennan.
"Keutamaan kami adalah untuk mengelakkan kumpulan ikan paus lain daripada terdampar dan kami membawa haiwan malang itu jauh ke kawasan pantai bagi melihat sama ada terdapat sebarang perubahan," tambahnya.
Katanya, haiwan itu gagal diselamatkan dan mati selepas dibawa ke kawasan tepi pantai.
"Namun, panggilan tersebut terhenti dan kumpulan kedua 30 ekor ikan paus tadi mula meneruskan perjalanan dan dengan menggunakan sebuah bot, kami berjaya memandu ikan-ikan itu keluar dari kawasan tanjung.
"Harapan kami ialah kumpulan ikan paus itu berjaya meneruskan perjalanan jauh ke tengah laut," jelasnya.
Pada minggu lalu sahaja, sejumlah 65 ekor ikan paus terdampar di Pantai Anthony, utara Tasmania.
Pegawai-pegawai berjaya menyelamatkan 11 ekor haiwan itu dan mengembalikan ikan-ikan paus ke laut.
"Kami meletakkan alat pengesan pada ikan-ikan paus yang terselamat dan laporan terkini mendapati kumpulan itu berada di Selat Bass dan bergerak lancar," ujar Brennan.
"Oleh itu, kami tahu jika haiwan tersebut terdampar dan haiwan yang diselamatkan dapat meneruskan hidup," tambahnya.
Jurucakap berkenaan berkata, pegawai-pegawai hidupan liar kini berdepan musim menyelamat di mana mereka terpaksa menangani kes ikan paus terdampar setiap 12 hari.
"Kes terdampar itu melibatkan dari seekor ikan paus hingga sekumpulan besar haiwan tersebut dan waktu hujung tahun merupakan waktu yang sibuk buat kami," jelasnya.
Pegawai-pegawai hidupan liar percaya fenomena ikan paus terdampar kerap berlaku beberapa minggu sebelum Hari Krismas ekoran peningkatan dalam jumlah makanan yang memerlukan haiwan itu bergerak ke kawasan cetek. - Agensi
sumber:kosmo